Sunday, June 8, 2008

FW: sapa nak bahagia


Tujuh petunjuk kebahagiaan dunia



PERKAHWINAN adalah satu ikatan suci antara dua insan bergelar suami
isteri. Pasangan suami isteri ini berkemungkinan berasal daripada latar
belakang keluarga berbeza suasana persekitaran, pendidikan serta
pendekatan ketika masih kecil hingga dewasa.

Selepas tiba masanya, mereka mengikat janji setia mendirikan mahligai
kehidupan, bersetuju untuk diakad nikah dan mengharapkan mahligai kasih
serta keluarga dibina sentiasa sejahtera dunia akhirat.

Firman Allah bermaksud: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia
menciptakan untukmu isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung
dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antara kamu rasa kasih
sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar
ada tanda bagi kaum berfikir." (Surah ar-Rum, ayat 21)

Namun, dalam melayari kehidupan berkeluarga, kesejahteraan diharapkan
tidaklah semudah seperti diidamkan. Perhubungan yang sepatutnya intim
mungkin kadang-kala menjadi dingin, hambar atau tegang.

Hal sedemikian boleh berlaku. Justeru, suami isteri juga insan biasa yang
pasti melakukan kesilapan dalam melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Ia
perlu ditangani dengan baik kedua-dua pihak, dengan sifat murni seperti
sikap keterbukaan dan berlapang dada.

Suami isteri perlu sedar hakikat kehidupan berkeluarga sebenar dan
berusaha mencari ilmu serta menimba pengalaman seni hidup berumah tangga
lantaran masing-masing mempunyai harapan, keperluan dan kehendak
bersendirian.

Ini mencetuskan perbezaan pandangan dan haluan yang hakikatnya anugerah
semula jadi pemberian Ilahi kepada setiap pasangan. Perbezaan juga boleh
lengkap-melengkapi, sokong-menyokong dan bantu-membantu dalam pembentukan
mahligai kasih diinginkan.

Justeru, setiap pasangan berkewajipan berusaha menimba ilmu melalui
pembacaan, menghadiri kursus mahupun perbincangan dengan kaunselor
kekeluargaan. Ia penting demi keharmonian seluruh ahli keluarga.

Allah berfirman bermaksud: "Dan orang yang berkata: Ya Tuhan kami,
anugerahkanlah kepada kami, isteri dan keturunan sebagai penyenang hati
(kami) dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa." (Surah
al-Furqan, ayat 74)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang
berbuat baik kepada ahli (keluarganya) dan aku dikalangan kamu adalah
orang yang paling baik dengan ahliku." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Selepas berusaha membina mahligai kasih, kita boleh berasa dan melihat
hasilnya dengan mengecap kebahagiaan di dunia berdasarkan kayu ukur Islam
yang diungkapkan Ibnu Abbas.

Suatu hari Ibnu Abbas ditanya Tabi'in apa yang dimaksudkan kebahagiaan
dunia. Jawab Ibnu Abbas ada tujuh kayu ukur atau petunjuk kebahagiaan
dunia iaitu:

l Hati yang selalu bersyukur. Memiliki jiwa yang menerima seadanya tanpa
angan-angan kosong tidak berpijak di alam nyata, tidak ada tekanan.

Inilah nikmat bagi hati yang selalu bersyukur. Seorang yang pandai
bersyukur sangat memahami sifat Allah SWT. Apa saja diberikan Allah
kepadanya, ia terasa sungguh terhutang budi, berterima kasih, terpesona
dengan pemberian dan keputusan Allah.

Apabila berhadapan kesulitan, terus mengingati sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud: "Jika kita sedang susah perhatikanlah orang yang lebih susah
daripada kita. Apabila diberi kemudahan, ia bersyukur dengan menggandakan
amal ibadahnya, kemudian Allah akan mengujinya dengan kemudahan lebih
besar lagi. Bila ia tetap istiqamah dengan terus bersyukur, maka Allah
akan mengujinya lagi dengan kemudahan yang lebih besar lagi."

l Pasangan hidup yang salih.

Pasangan hidup yang salih akan menciptakan suasana rumah dan keluarga
harmoni serta aman damai. Berbahagialah menjadi seorang isteri kepada
suami yang salih dan berusaha membawa isteri serta anak mencari keredaan
Allah.

Demikian pula seorang isteri yang salih, akan memiliki kesabaran dan
keikhlasan luar biasa dalam melayani suaminya. Maka berbahagialah menjadi
seorang suami yang memiliki isteri salih.

l Anak yang salih.

Satu ketika Rasulullah SAW sedang bertawaf bertemu dengan seorang pemuda
yang melecet bahunya. Selepas selesai tawaf Rasulullah SAW bertanya kepada
pemuda itu: "Kenapa bahumu itu? Jawab pemuda itu: Ya Rasulullah, saya dari
Yaman, saya mempunyai seorang ibu yang sudah uzur. Saya sangat mencintai
dia dan saya tidak pernah melepaskan dia. Saya melepaskan ibu saya hanya
ketika buang hajat, solat, atau berehat. Selain itu selalu mendukungnya
(dibahu). Lalu anak muda itu bertanya: Ya Rasulullah, apakah aku sudah
termasuk ke dalam orang yang sudah berbakti kepada orang tua? Nabi SAW
sambil memeluk anak muda itu dan mengatakan: Sungguh Allah reda kepadamu,
kamu anak salih, anak yang berbakti. Tetapi anakku ketahuilah, kamu tidak
akan mampu membalas cinta orang tuamu."

l Lingkungan kondusif untuk iman kita.

Yang dimaksudkan lingkungan yang kondusif ialah suasana keliling dan
sahabat rapat memberi nilai tambah terhadap keimanan kita. Rasulullah SAW
menganjurkan kita selalu bergaul dengan orang salih yang mengajak kepada
kebaikan dan mengingatkan kita apabila berbuat salah.

Orang salih adalah orang yang bahagia kerana nikmat iman dan Islam selalu
terpancar pada cahaya wajahnya. Insya-Allah cahaya itu akan ikut menyinari
orang di sekitarnya.

l Harta yang halal.

Riwayat Imam Muslim dalam bab sedekah, Rasulullah SAW pernah bertemu
dengan seorang sahabat yang berdoa mengangkat tangan. "Kamu berdoa sudah
bagus," kata Nabi SAW, Namun sayang makanan, minuman, pakaian dan tempat
tinggalnya didapatkan secara haram, bagaimana doamu akan dikabulkan."

Berbahagialah menjadi orang yang hartanya halal kerana doanya sangat mudah
dikabulkan Allah. Harta yang halal juga akan menjauhkan syaitan dari
hatinya, maka hatinya semakin bersih, suci dan kukuh hingga memberi
ketenangan dalam hidupnya.

l Semangat untuk memahami agama.

Allah menjanjikan nikmat bagi umat-Nya yang menuntut ilmu, semakin ia
belajar semakin cinta ia kepada agamanya, semakin tinggi cintanya kepada
Allah dan Rasul-Nya. Cinta inilah yang akan memberi cahaya bagi hatinya.

l Umur yang berkat.

Umur yang berkat ertinya umur yang semakin tua semakin salih, setiap detik
diisi dengan amal ibadah. Seseorang yang mengisi hidupnya untuk
kebahagiaan dunia semata, maka hari tuanya akan diisi dengan banyak
bernostalgia mengenai masa mudanya.

Orang yang mengisi umurnya dengan banyak mempersiapkan diri untuk akhirat
(melalui amal ibadah), maka semakin tua semakin rindu ia untuk bertemu
dengan Penciptanya. Tidak ada rasa takut meninggalkan dunia ini, bahkan ia
penuh harap untuk segera berasakan keindahan alam kehidupan berikutnya
seperti dijanjikan Allah.

Pauziah Ali ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM dan AJK
Wanita JIM Selangor yang boleh dihubungi

di e-mel: wanitajim0@yahoo.com








Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang
maklum balas. Kembali ke atas


Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.

The information in this e-mail and any attachment(s) here to is only for the use of the intended recipient and may be confidential or privileged. If you are not the intended recipient, any use of, reliance on, reference to, disclosure of, alteration to or copying of the information for any purpose is prohibited. Any information not related to BNM's official business is solely the author's and does not necessarily represent BNM's view and is not necessarily endorsed by BNM. BNM shall not be liable for loss or damage caused by viruses transmitted by this e-mail or its attachments. BNM is not responsible for any unauthorised changes made to the information or for the effect of such changes.


No comments:

Custom Search