Wednesday, June 4, 2008

Perihal Sihir

Kebiasaannya pengamal sihir akan meminta bantuan syaitan atau jin yang kafir. Segala permintaan dan bantuan yang diterima oleh pengamal sihir
mesti didahului dengan pengakuan terhadap kekuasaan dan ketuanan jin dan syaitan. Biasanya mereka yang mempelajari sesuatu itu pasti akan
mengamalkannya suatu hari kelak.


Selagi mana manusia mohon bantuan selain Allah SWT dalam urusan kehidupan
mereka maka ia dikira syirik kepada Allah. Tegahan beramal dan pengamal
sihir dihukum dengan kufur, hal ini jelas di dalam al-Quran. Allah SWT
berfirman yang bermaksud: …akan tetapi puak-puak syaitanlah yang kufur
(dengan amalan sihir itu); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu
sihir… (al-Baqarah: 102).


Sebab itu Islam menentang keras perbuatan sihir dan tukang sihir. Tentang
orang yang belajar ilmu sihir, al-Quran mengatakan yang bermaksud: Mereka
belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan tidak
bermanfaat buat mereka. (al-Baqarah: 102)


Rasulullah SAW menilai sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang
akan mengheret si pengamalnya merosak dan menghancurkan sesuatu bangsa
sebelum terkena kepada peribadi seseorang. Sihir juga dapat menurunkan
kedudukan pelakunya di dunia ini sebelum pindah ke akhirat.


Oleh yang demikian Rasulullah bersabda yang bermaksud: Jauhilah tujuh
perkara besar yang membawa kerosakan. Para sahabat bertanya: Apakah tujuh
perkara itu, ya Rasulullah? Jawab baginda, iaitu: 1) menyekutukan Allah; 2)
sihir; 3) membunuh orang yang diharam Allah diharamkan melainkan orang
memang patut dibunuh; 4) makan harta riba; 5) makan harta anak yatim, 6)
lari dari peperangan; 7) menuduh perempuan-perempuan baik melakukan
perbuatan jahat sedang mereka adalah wanita yang terjaga dan beriman.
(riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Segolongan ahli fiqh menghukum perbuatan sihir dengan kekufuran, yang
bermaksud sihir membawa kepada kufur. Sementara itu, ada yang berpendapat
bahawa ahli sihir itu wajib dibunuh demi melindungi masyarakat daripada
bahaya sihir.


Berlindung diriAl-Quran telah mengajar penganut agama Islam supaya
berlindung diri dan bergantung harap hanya kepada Allah dari kejahatan
tukang sihir. Firman Allah yang bermaksud: (Dan aku berlindung diri) dari
kejahatan tukang meniup simpul. (al-Falaq: 4)


Peniup simpul salah satu cara dan ciri yang dilakukan ahli-ahli sihir.
Dalam salah satu hadis diriwayatkan yang bermaksud: "Barang siapa meniup
simpul, maka sungguh ia telah menyihir, dan barang siapa menyihir maka
sesungguhnya dia telah berbuat syirik". (riwayat Thabrani)


Sebagaimana halnya Islam mengharamkan orang Islam bertemu dukun untuk
menanyakan perkara-perkara ghaib, maka begitu juga Islam mengharamkan
perbuatan sihir atau pergi ke tukang sihir untuk mengubati suatu penyakit
yang telah dicubakan kepadanya atau untuk mengatasi suatu masalah yang
dideritanya.


Amalan semacam ini menyebabkan kelak baginda tidak mengakui pengamal itu
sebagai umatnya. Sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: Tidak termasuk
golongan kami, barang siapa yang menganggap sial kerana alamat (tahayyur)
atau minta dibuang kesialannya dan menenung atau minta ditenungkan, atau
menyihir atau minta disihirkan". (riwayat al-Bazzar dengan sanad yang
baik).


Ibnu Mas'ud juga pernah berkata yang bermaksud: "Barang siapa bertemu
tukang ramal, atau tukang sihir atau tukang tenung, kemudian ia bertanya
dan percaya terhadap apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya dia telah
kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW". (riwayat
al-Bazzar dan Abu Ya'la dengan sanad yang baik).


Bersabda pula Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Tidak akan masuk syurga
pencandu arak, dan tidak pula orang yang percaya kepada sihir dan tidak
pula orang yang memutuskan silaturrahim". (riwayat Ibnu Hibban).


Haramnya sihir di sini tidak hanya terbatas kepada si tukang sihir saja,
bahkan meliputi setiap orang yang mempercayai kepada sihir yang diamalkan
dan percaya kepada apa yang dikatakan oleh si tukang sihir itu.


Lebih dahsyat lagi apabila sihir itu dipergunakan untuk tujuan-tujuan yang
jahat, seperti memisahkan antara suami dan isteri, mengganggu seseorang dan
sebagainya yang biasa dikenal dan diamalkan di kalangan ahli-ahli sihir.


Hukum mempelajarinya juga haram. Dr Umar Sulaiman al-Asqar berpendapat:
"Walaupun perbuatan sihir tidak memperlihatkan secara langsung akan
perbuatan kekufuran namun ia haram kerana terdapat unsur kerosakan pada
akidah secara umumnya. Ini kerana apabila seorang awam melihat perbuatan
tukang sihir sehingga tidak dapat membezakan antara perbuatan makhluk dan
pemberian tuhan". (Dr Umar Sulaiman al-Asqar, 'Alam al-Sihr, hlm: 217).


Ibn Hajar al-'Asqalaniy berpendapat: "sesungguhnya ayat 102 dari surah
al-Baqarah menunjukkan bahawa sihir itu adalah kekufuran dan yang
mempelajarinya juga adalah kufur. Yang demikian jelas dari sebahagian
perbuatan si tukang sihir apabila meminta bantuan daripada syaitan, jin
atau menyembah sesuatu objek".


Imam al-Nawawi berpendapat: "Mengamalkan sihir adalah haram, termasuk dalam
dosa-dosa besar dan baginda telah menggolongkan dalam tujuh dosa besar.
Manakala belajar dan mengajar adalah haram". (Ibn Hajar al-'Asqalaniy,
Fathu al-Bariy, jld:10, hlm: 224)


Ibnu Qudamah berpendapat: "Mempelajari ilmu sihir dan mengajarnya adalah
haram, tidak kami dapati sebarang percanggahan dalam hal ini (belajar dan
mengajar sihir)".


Dapat disimpulkan bahawa perbuatan sihir adalah haram. Mempercayai dan
beramal dengan sihir juga haram malah mempelajarinya dihukum haram. Adalah
lebih baik sebagai seorang muslim yang beriman kepada qada dan qadar Allah
tidak mendekatkan diri kepada sihir sama ada beramal mahupun belajar.

No comments:

Custom Search