Monday, June 2, 2008

FW: tips-apabila cinta makin pudar..

HAMPIR semua orang pernah merasai penangan cinta. Kuasa cinta menyebabkan seseorang sanggup melakukan apa sahaja. Berjumpa setiap hari, bercakap
berjam-jam di telefon, jaga sehingga lewat malam, meminjamkan wang dan sebagainya.


Pendek kata sewaktu dilamun cinta, semuanya terlalu indah dan
membahagiakan. Tetapi kenapa kenapa kehangatan cinta tidak kekal lama?
Keterujaan cinta bagi sesetengah orang hanya berlangsung sementara. Ada
yang mungkin mencecah setahun tetapi banyak yang tidak sampai angka 12
bulan pun.


Selepas itu, kehangatan dan keterujaan cinta semakin pudar. Jika cinta
masih kekal pun, ia tidak sehangat dulu. Tetapi lebih menyedihkan lagi,
ikatan cinta berakhir dengan perpisahan.


Selain tiada persefahaman, ramai juga yang menyatakan mereka mudah bosan
selepas tempoh masa tertentu perhubungan.


Benarkan keghairahan hubungan cinta tidak dapat dikekalkan? Atau adakah
sememangnya menjadi lumrah kehangatan cinta hanya berlangsung dalam tempoh
tertentu?


Apatah lagi selepas menjengah ke alam rumah tangga, kehangatan cinta akan
semakin pudar.


Hakikatnya, bagi kebanyakan pakar psikologi, keterujaan dan kehangatan
hubungan percintaan bergantung kepada pasangan terbabit.


Keghairahan semasa menempuh alam percintaan terjadi kerana ketika itulah,
masing-masing mengungkap kata cinta, merungkai isi hati masing-masing dan
saling menghargai.


Bagaimanapun, apabila hubungan percintaan sudah diisytihar, ramai yang
mengabaikan kata-kata cinta, apatah lagi mengambil tahu isi hati pasangan
masing-masing.


Tatkala itu, kehambaran cinta akan menerpa dan banyak yang tidak dapat
menyelamatkan hubungan itu.


Berikut adalah antara beberapa tip ringkas untuk mengekalkan kehangatan dan
keterujaan hubungan percintaan.


Situasi spontan


Jangan sesekali merendah-rendahkan nilai spontan dalam sebuah perhubungan.
Biasanya kebosanan timbul dalam sesuatu perhubungan kerana rutin harian
yang dilakukan hampir sama dan sudah boleh dijangkakan.


Jangan takut untuk mencadangkan aktiviti-aktiviti baru yang boleh dilakukan
bersama. Atau lakukan kejutan-kejutan tertentu seperti lelaki boleh cuba
memasak satu resipi baru untuk makan malam. Elakkan terlalu merancang
situasi spontan.


Teroka lokasi baru


Pernah anda makan malam di sebuah kedai yang hampir sama saban hari dengan
kekasih anda? Ada pula yang hanya membeli-belah di pasar raya yang serupa.
Tidak kurang pula asyik bercuti di tepi pantai.


Pelbagaikan dan terokailah lokasi baru bersama untuk menambahkan keterujaan
dalam hubungan. Terdapat ribuan kedai makan, ratusan pusat beli-belah dan
pelbagai destinasi percutian di dalam dan luar negara. Mengapa perlu begitu
sterotaip?


Hadir kelas atau kursus bersama


Apa kata hadir satu-satu kelas baru secara bersama.


Jika selesa dengan kelas masakan anda boleh mencuba kelas itu. Atau jika
tidak terdapat banyak kelas lain termasuklah tarian, gim, pilates, hasil
seni dan banyak lagi.


Aktiviti baru yang dilakukan bersama menyebabkan anda mewujudkan satu
hubungan saling bergantung dan interaksi yang lebih kerap.


Tidur di hotel atau resort


Atmosfera yang baru akan menambahkan lagi romantis dalam hubungan. Jangan
terlalu terikat – suami isteri perlu tidur dalam bilik di rumah.


Sesekali cuba atmosfera di hotel, resort atau berkhemah di tepi pantai. Ia
akan membuatkan anda tidak terlalu bosan.


Beri hadiah tanpa sebab


Ini adalah antara cara untuk mengembalikan hubungan kembali ke landasan
yang betul. Pada awal hubungan anda kerap menghadiahkan si dia hadiah,
tetapi selepas beberapa lama ia tidak lagi berlaku. Hadiah yang kecil sudah
cukup kerana ia menjadi satu tanda atau isyarat si dia sentiasa bertakhta
di hati anda. Tidak perlu menunggu hari jadi, hari kekasih atau hari ulang
tahun untuk melakukan perkara itu. Bosan bukan?


Berpegang tangan


Ramai yang mengambil sikap sambil lewa pada pergerakan semudah berpegangan
tangan. Ramai pasangan hanya berpegangan tangan semasa awal hangat bercinta
sahaja tetapi tidak selepas itu. Kenapa begitu? Malu?


Kenapa perlu malu apatah lagi sekiranya hubungan anda itu sudah menginjak
ke alam perkahwinan? Memegang tangan, mengusap jari-jemari dan mencium
tangan pasangan anda walaupun nampak mudah, tetapi ia satu tindakan yang
menyenangkan dan menunjukkan anda ikhlas berkongsi hidup dengannya.


No comments:

Custom Search